7.9 C
New York
Thursday, April 18, 2024

Kisah masyarakat di Aidilfitri – mudahkan perjalanan orang ramai yang berhadapan kesesakan lalu lintas


Kisah yang tular di laman media sosial baru-baru ini mengenai sekumpulan masyarakat berbangsa Cina di Ladang Bikam yang sanggup bersengkang mata dan berganding bahu untuk ‘membaikpulih’ ‘jalan tikus’ bagi pemandu yang datang dari arah Perak untuk ke selatan. Dikongsikan oleh saudara Zairul Annuar menerusi Fb, yang berkata, pada mulanya dia menggunakan lebuhraya dari Simpang Pulai untuk menuju ke arah selatan. Namun oleh kerana lebuhraya terlalu sesak, dia mengambil keputusan untuk masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

Dengan berpandukan Google Maps, dia sekeluarga meneruskan perjalanan dan aplikasi terbabit ada memaklumkan berlaku kesesakan di jalan yang sedang dilalui dan menyarankan laluan alternatif, yang kemudiannya membawa menggunakan jalan kampung yang akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.

Menurut Zairul, selepas melewati kawasan perumahan terbabit, dia sampai ke jalan yang tidak bertar menuju ke ladang kelapa sawit yang gelap. Namun tetap meneruskan perjalanan sehinggalah terserempak dengan beberapa kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan memaklumkan kepadanya jalan di hadapan sempit dan tidak boleh dilalui.

“Mereka mengarahkan kami agar berpatah balik. Semua kereta di belakang kami juga diminta melakukan perkara yang sama. Setelah berpatah balik, kami telah sampai semula ke kawasan perumahan tadi. Tiba-tiba kereta kami diberhentikan oleh sekumpulan lelaki berbangsa Cina,” katanya.

Kumpulan terbabit bertanya adakah Zairul mahu ke KL dan meminta untuk meneruskan perjalanan. Kata mereka, “ Jangan patah balik. Itu tadi depan u tak boleh jalan kan? Takpa. Kita bawa backhoe kasi restore itu jalan. U tunggu sekejap. Kalau u patah balik pun tak da guna, jalan Ladang Bikam sana jem manyak teruk sebab ada accident. Nanti u sudah keluar nanti ini jalan, jangan ikut Ladang Bikam, u ikut jalan Bidor sampai KL” ujar seorang lelaki Cina pertengahan umur.

Malahan kumpulan lelaki Cina berkenaan sepakat untuk membantu para pemandu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka.

“Pada masa yang sama kami lihat sebuah backhoe bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan. Kami pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan. Sebaik sampai di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui,” sambung Zairul.

Kisah yang dikongsikan oleh Zairul ini mendapat perhatian yang meluas di kalangan netizen dan juga pihak media. Malahan ramai netizen yang memuji tindakan kumpulan penduduk terbabit.

“Hati saya rasa terharu. Penduduk Cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang-orang Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur. Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong. Hebat orang-orang Cina Perak. Energy. Ini barulah bangsa Malaysia,” kongsi Zairul lagi.

Begitu juga dengan tindakan beberapa individu di tepi jalan di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku, Setiu, Terengganu yang berkongsi rezeki dengan memberi potongan tembikai kepada perantau yang berdepan kesesakan jalan raya. Kisah yang dikongsikan oleh pemilik akaun Tiktok @aiman92 ini juga berjaya mencuri tumpuan netizen di laman media sosial.

Perkongsian oleh pemilik akaun Tiktok @r.nissss juga mencuri tumpuan netizen, apabila memaparkan keluarganya di Kampung Saujana, juga di daerah Setiu, yang memberikan kemudahan menggunakan tandas di rumahnya secara percuma kepada orang ramai yang tersangkut dalam kesesakan trafik di hadapan rumahnya. Malah keluarganya turut menyediakan air minuman secara percuma kepada orang ramai yang berhenti di rumahnya.

Sifat sebeginlah yang sepatutnya ditanam dalam masyarakat kita, tidak kira bangsa mahu pun agama. Saling membantu, menghormati dan bertoleransi. Kita tidak akan rugi apa-apa jika sifat sebegini diamalkan, bahkan inilah yang dikatakan masyarakat majmuk dan muhibah. Syabas untuk anda semua! Kita bangsa Malaysia!

@mankidal92 kongsi2 rezeki ketika jln tengah jem. Hati2 memandu semua, semoga selamat sampai ke destinasi. Amin. #kampungberistokku ♬ authentic sound – LaguRaya


@r.nissss tandas free 2.0 2024🥰 #jemraya #raya2024 #alamakrayalagi ♬ Alamak Raya Lagi DEFAM – De Fam

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles